THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Pulau Payar, Langkawi


Baru-baru ini kami sempat bercuti ke Langkawi untuk beberapa hari. Setelah hampir tiga tahun tidak ke sana, percutian kali ini memang dinanti-nantikan. Kalau dulu kami ke sana dengan menaiki bot di Kuala Perlis, kali ini kami ambil flight Air Asia aje. Jimat masa dan jimat duit! Paling penting, badan tidak terlalu penat. Iyelah, masa perjalanan hanya 45 minit sahaja.

Untuk percutian kali ini, kami memilih percutian yang agak berbeza sedikit. Bukan untuk membeli-belah, tetapi kami memilih untuk berehat sepuasnya dan paling penting, singgah ke Pulau Payar. Pulau ini khabarnya cantik dan kaya dengan hidupan marin. Pernahkah anda ke pulau ini? Kalau belum, ikuti pengalaman kami semasa bercuti di pulau ini. Mana tahu selepas ini anda tertarik untuk ke sana.

Sebelum itu, jom kita kenali pulau ni terlebih dahulu. Pulau Payar merupakan salah sebuah pulau yang termasuk di dalam senarai 99 buah pulau yang bertaburan di sekitar Pulau Langkawi. Jaraknya pula, kira-kira 30 kilometer dari Pulau Langkawi. Pulau ini tidak didiami oleh sesiapa kecuali kakitangan Jabatan Laut yang bertugas. Aktiviti memancing adalah dilarang sama sekali di pulau ini kerana ia telah pun digazetkan sebagai salah satu taman laut negara.

Tiba hari yang dinantikan, kami bertolak ke Pulau Payar dengan menaiki feri Langkawi Coral di Jeti Kuah. Takut mabuk laut? Jangan risau, feri yang digunakan cukup selesa dan anda boleh tidur sahaja jika takut mabuk laut. Perjalanan dari Jeti Kuah ke Pulau Payar mengambil masa kira-kira sejam.

Sebaik sahaja feri menghampiri Pulau Payar, pandangan kami terus tertumpu kepada pemandangan pantai yang cukup indah. Pasirnya yang memutih dan lautnya yang membiru bagaikan melambai-lambai menyambut kedatangan kami di pulau yang semakin popular di kalangan pelancong ini.

Bermain dengan ikan yang berwarna-warni
Selain daripada selam skuba, aktiviti yang paling popular di pulau ini ialah snorkeling. Kami sendiri tidak lepaskan peluang melakukan aktiviti ini. Hendak selam skuba, kami tiada lesen. Sebaik sahaja berada di dalam air, sekumpulan ikan terus mengerumuni. Kami pun apa lagi, terus ambil peluang ini dengan menghulur sekeping roti kepada ikan-ikan ini dan sempat ‘posing’ lagi. Oleh kerana terlalu seronok dan teruja dengan ‘sambutan’ yang diterima, tanpa membuang masa kami terus terjun ke dalam air untuk snorkeling.

Sungguh mengasyikkan! Itulah yang boleh kami katakan tentang dunia di bawah air di pulau ini. Hidupan marin di sini sungguh cantik dan berwarna-warni. Bukan itu sahaja, kami turut terpesona dengan keindahan terumbu karang yang terdiri daripada pelbagai spesis. Sesekali kelihatan ‘Nemo’ berlarian di celah-celah karangan. Untuk seketika, kami dapat lupakan semua masalah yang sedang dihadapi.

Walaupun leka mengintai ikan-ikan dan terumbu karang yang berwarna-warni, kami juga tidak lepaskan peluang untuk mengikuti aktiviti ‘baby shark feeding’. Aktiviti ini dilakukan di tepi pantai berhampiran jeti. Satu pengalaman yang cukup menarik dan rugi jika dilepaskan begitu sahaja.

Seharian berada di Pulau Payar, meninggalkan memori yang cukup manis di dalam ingatan. Belum pun kaki melangkah meninggalkan pulau ini, di dalam hati sudah terdetik yang kami akan kembali bertandang ke pulau ini. Keseronokkan dan kepuasan yang dialami, sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Nota perjalanan
Terdapat dua perkhidmatan feri untuk ke Pulau Payar iaitu Langkawi Coral dan Coral Island. Bagaimanapun, untuk keselesaan yang layanan yang bagus, kami cadangkan anda mengambil pakej yang disediakan oleh Langkawi Coral. Walaupun harga pakejnya agak mahal iaitu RM220 untuk dewasa dan RM140 untuk kanak-kanak, tetapi ia berbaloi.

Langkawi Coral menyediakan platform khas di tengah laut untuk memudahkan anda snorkeling atau selam skuba. Tidak perlu bersusah-payah berenang ke tengah laut. Selain itu ia juga menyediakan hidangan makan tengah hari secara bufet, perkhidmatan bot ke tepian pantai dan yang paling penting, ia menyediakan bekalan air bersih untuk anda membersihkan badan.

Untuk keterangan lanjut tentang pakej ke Pulau Payar, anda boleh hubungi Langkawi Coral di talian 04 – 9669140.







2 comments:

Anonymous said...

Kalau anda mahu kePulau Payar dapat package dari saya Din Delima tours Package termahal Rm198.00
Yang termurah hanya Rm150.00 Tak sampaimacam anda Rm220.perpack. O.k

Anonymous said...

Opss Lupa nak Beri Contact No
0175795850 atau lawati
www.shamabdul.wordpress.com