THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

kg Kemensah, Kuala Lumpur


Jauh dari kesibukan kota , Kampung Kemensah, Ampang menyediakan pelbagai aktiviti riadah dan sukan lasak. Dengan sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan tebal yang menyambung ke Gunung Nuang di Hulu Langat , ia pasti menyajikan pengalaman yang tersendiri bagi para pengunjung.

Kampung Kemensah menjadi tempat popular bagi para peminat sukan lasak di sekitar kawasan Lembah Kelang. Bagi yang meminati sukan berbasikal bukit di sini disediakan denai-denai yang merentasi hutan dan melalui sungai-sungai dan air terjun yang cantik dan masih terpelihara kesuciannya.

Kepenatan berbasikal pasti tidak terasa kerana terpesona dengan keindahan flora dan fauna. Aliran air sungai yang berderu dan kawasan hutan hujan Khatulistiwa membuatkan suasana nyaman dan segar. Laluan basikal yang paling mencabar adalah laluan ke Empangan Klang-Gate dan ke Air Terjun Khamisah di mana air terjunnya sebanyak 7 lapis.

Di sini disediakan juga kenderaan ATV (All Terrain Vehicle) dan merupakan satu-satunya kawasan di sekitar Lembah Klang yang terdapat kenderaan jenis ini. ATV adalah sejenis kenderaan pacuan 4 roda untuk mendaki kawasan bukit yang curam dan melalui laluan yang sukar seperti lopak-lopak air yang dalam dan akar-akar pokok yang besar. Walaupun badan merasa sakit kerana sering terlanggar dengan objek-objek keras tetapi peluang untuk menaiki ATV pasti sukar dilepaskan kerana jarang didapati di lain tempat.

Sekali lihat seperti susah untuk mengawal ATV tetapi apabila sudah mencuba ternyata amat mudah untuk memandunya. Kelajuan maksimum ATV adalah 40 km/j dan hanya mempunyai gear undur. ATV dikhaskan untuk seorang pemandu sahaja dan pemandu perlulah berusia 16 tahun ke atas. Pemandu juga perlu memakai topi keselamatan untuk mengelakkan kemalangan.

Sekiranya pengunjung ingin merasai kehidupan di kampung, ada disediakan chalet-chalet di Kampung Kemensah.Untuk pengunjung yang ingin berkhemah, tapak-tapak khas juga telah disediakan. Dengan harga yang berpatutan, pengunjung dapat melakukan aktiviti seperti BBQ, berkaraoke, menunggang kuda dan mendaki gunung secara berkumpulan.

Chalet yang terletak berhampiran sungai pasti mendinginkan dan mendamaikan suasana ketika waktu malam, di selang-selikan dengan bunyi cengkerik serta unggas pasti menghiburkan dan menenangkan perasaan untuk melupakan seketika kesibukan dan kebingitan di kotaraya. Inilah sebenarnya tujuan chalet ini dibangunkan di Kampung Kemensah.

Amat mudah untuk sampai ke sini dengan melalui MRR 2 ke Zoo Negara. Jalan masuknya melalui laluan kampung sebelah Zoo Negara. Hanya 2 km dari Zoo Negara melalui laluan bertar.





0 comments: