THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

10 tempat menarik di Melaka

Negeri Melaka, yang pada kurun ke-15 dahulu merupakan sebuah pelabuhan terpenting di rantau Asia, masih kekal gemilang dengan sejarahnya sehingga ke hari ini. Peninggalan penjajah sedikit sebanyak telah membawa tuah kepada negeri ini. Ditambah pula dengan kepelbagaian bangsa dan keturunan termasuk Baba Nyonya dan Portugis, negeri Melaka yang berada 124km dari Kuala Lumpur dan 225km dari Johor Bahru ini, menjadi destinasi pelancongan yang unik dan menarik.

Gua menyenaraikan 10 tempat perlu tuju apabila berada di negeri Hang Tuah ini.

1. Bukit Saint Paul (Bandar Hilir) - Pemandangan Selat Melaka
Bukit ini menempatkan “Our Lady of the Hill”, sebuah gereja Saint Paul yang dibina di puncaknya pada tahun 1521. Gereja Portugis yang menghadap keindahan dan kesibukan Selat Melaka ini telah ditinggalkan oleh penjajah Portugis dan yang tinggal kini hanyalah serpihan bangunan tanpa berbumbung. Beberapa blok nisan empat segi besar tersandar di dinding bangunan bersejarah ini dan terdapat sebuah wishing well untuk pengunjung ‘membuang’ hajat dengan duit syiling. Jangan lupa ambil gambar dengan patung Saint Paul yang kudung tangan kerana terkena serpihan bom!

2. Kubu A’ Famosa – Peninggalan Penaklukan Portugis
Kubu A’Famosa ialah landmark negeri Melaka. Kubu yang dibina oleh kerajaan Portugis pada 1511 ini kononnya kebal menahan serangan pihak lawan yang datang dari arah laut. Namun kubu ini musnah akibat serangan bertalu-talu dari pihak Belanda tetapi bahagian depan Kubu ini masih kukuh tersergam sehingga ke hari ini. Kubu A’Famosa dibina daripada blok-blok batu merah yang tidak seragam bentuknya dan di hadapan kubu ini terdapat sebilah meriam besi yang digunakan pengunjung untuk bergambar sakan.





3. Bangunan Stadhuys – Merahnya Dataran Belanda
Bangunan Stadhuy ini dikenali sebagai bangunan merah oleh penduduk tempatan. Dibina pada tahun 1650, bangunan ini merupakan rumah rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya. Di sekitar bangunan Stadhuys yang dipanggil Dutch Square ini terdapat gereja Christ Church yang berusia lebih 250 tahun, kolam air pancut dan sebuah kincir air seperti yang sering dilihat di negara Belanda. Bangunan Stadhuys sekarang menempat Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera untuk dikunjungi pelancong.
4. Little India – Merasai Bollywood
Little India di Melaka terletak di Jalan Bendahara berdekatan dengan Bangunan Stadhuys. Sepanjang jalan ini tersedia kedai-kedai yang menjual macam-macam barangan untuk masyarakat India daripada baju ala-ala Bollywood yang berwarna-warni, bahan-bahan masakan India, rempah ratus, aksesori perhiasan wanita, barang-barang sembahyang agama Hindu dan macam-macam lagi. Teringin nak lukis tangan dengan inai atau mendhi, dapatkan sebatang kon inai yang telah dibancuh dengan harga hanya RM2.50. Anting-anting labuh yang cantik-cantik dengan harga berpatutan juga boleh dibeli di sini.
5. Jonker Street – Baba Nyonya dan Barangan Antik
Peminat barangan antik dan mereka yang ingin mendalami kehidupan keturunan Baba dan Nyonya tidak boleh tidak pergi ke Jonker Street. Untuk merasai kemeriahan Jonker Street, datang pada malam Sabtu dan malam minggu kerana terdapat pasar malam yang sangat meriah. Di sini juga terdapat hotel-hotel berkonsep kehidupan Baba dan Nyonya yang boleh dicuba dan makanan popular keturunan Baba dan Nyonya seperti Ayam Pong Teh, Itek Tim dan Nyonya Laksa juga jangan dilupa. Membeli barangan antik perlu tahu tawar menawar dan jangan lupa bertanya tentang sejarahnya.
6. Istana Kesultanan Melaka – Jom Tengok Istana Lama
Istana Melaka pernah berdiri gah satu masa dulu sebelum dimamah api pada kebakaran pada tahun 1460. Pada sekitar 1980-an, kerajaan Melaka telah mendirikan sebuah replika Istana Kesultanan Melaka yang boleh dilawati oleh semua rakyat jelata dengan bayaran tiket yang berpatutan. Istana ini juga dikenali sebagai Muzium Budaya Melaka yang mempamerkan keunikan istana Melayu yang dibina seratus peratus daripada kayu dan sendinya diperkuatkan dengan pasak tanpa berpaku.
7. Dataran Pahlawan – Makan-Makan, Ole-Ole dan Macam-Macam
Dataran Pahlawan ini attraction baru yang dibangunkan oleh kerajaan Melaka. Di bahagian atasnya terpusat tempat menjual cenderahati dan di dalam bangunan ini pula ialah pusat membeli belah yang menempatkan kedai-kedai berjenama popular. Di seberang jalan terdapat satu lagi pusat membeli belah lama yang juga masih popular iaitu Mahkota Parade. Kalau di waktu hujung minggu pasti sesak di kedua-dua mall ini.
8. Naik Beca – Ronda Melaka Penuh Gaya
Kalau dah sampai ke Bandar Hilir tidak naik beca, memanglah tak sah kunjungan anda ke Melaka. Beca di Melaka cantik dihias dengan bunga-bunga dan kalau suka dengar muzik, pilihlah beca yang ada speaker besar. Harga naik beca tidaklah murah, lebih kurang RM10 daripada depan A Famosa ke Dutch Square tetapi for the experience, berbaloi! Menurut si penarik beca, destinasi paling jauh dia pernah pergi ialah ke Tanjung Kling dan Air Keroh. Jauhnya!! Sekurang-kurangnya harga tambang seratus ringgit dan penarik beca yang tidak boleh bekerja seminggu kerana sakit kaki.
9. Air Keroh – Meriah Melawat Taman
Air Keroh ialah satu lagi destinasi di Melaka selain Bandar Hilir yang cukup terkenal. Macam-macam ada di Air Keroh termasuk Taman Mini Malaysia dan Taman Mini Asean. Kalau bertuah mungkin terserempak dengan Noraniza Idris selaku pengarah taman-taman ini. Selain itu, di Air Keroh juga ada Zoo Melaka yang terkenal, Taman Ular, Taman Rama-Rama dan Hutan Rekreasi.
10. Makan Ikan Bakar di Umbai
Akhir sekali, kalau dah sampai Melaka janganlah lepaskan peluang makan ikan bakar di Umbai Melaka. Di sini, ikan bakar di makan dengan nasi lemak, nelayan style! Banyak gerai yang tersedia di medan ikan bakar di Umbai ini untuk dipilih pelanggan dan semuanya menyediakan makanan laut segar untuk dibakar!

1 comments:

Unknown said...

Banyak dah x update ni.. :)
ada banyak lg dah skrg tmpt menarik yg kena lawatai kat melaka ni dah skrg..
kurang2 tu blh tambah lg 10 tmpt menarik..
X pe.. nnt kalau nak dtg melaka lg, jgn lupa singah hamestay hamba.. "Anugerah Homestay Melaka".. nnt hamba blh bg special rate utk tuan hamba.. cuma pilih aja mane2 homestay yg berkenan dari koleksi homestay yg hamba ada setakat ini..

www.homestaydimelaka.blogspot.com