THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Hutan Lipur Bukit Hijau , Kedah


Sejuknya sampai ke tulang sum-sum dan membuatkan diri menggeletar seketika. Apatah lagi bila menyandarkan tubuh pada batu-batu lembut dengan percikan air terjun menjurai-jurai turun ke bawah. Namun, kesejukan hanya sekejap terasa, kerana selepas itu hanya keseronokan berenang dalam kesejukan air yang bermain di fikiran. Lata, atau kawasan air terjun sebegini sentiasa menjadi pilihan pengunjung, samada untuk membasahkan tubuh dengan aliran air yang deras, ataupun sekadar duduk berehat sambil diiringi nyanyian penghuni hutan yang menenangkan.

Hutan Lipur Bukit Hijau, adalah merupakan kawasan rekreasi yang menawarkan semua itu. Malah keistimewaan Hutan Lipur ini lebih dari sekadar kehijauan pokok-pokok dan aliran dari jeram yang deras. Ia juga memiliki kawasan air terjun 5 tingkat yang setiap satunya mempunyai bentuk yang berbeza antara satu dengan yang lain. Hutan Lipur Bukit Hijau terletak dalam Hutan Simpan Gunung Inas, Kedah dengan ketinggian di antara 150-200 meter di atas paras laut.

Melangkah menaiki tangga batu yang dibina khas mungkin agak memenatkan bagi sesetengah orang. Namun, lenguh lutut ditahan juga tatkala mata terpandang ke deruan air deras dari air terjun bertingkat yang meluncur deras, membuatkan diri berasa seperti sudah berada di dalam air, begitu teruja untuk terus melangkah dan tiba ke kawasan air terjun yang paling atas dengan pantas.

Indah mempesona. Hanya itu yang terdetik di hati bila mata terpandang ke luncuran air terjun deras, dengan di hadapannya sebuah kolam semulajadi dengan limpahan air tenang. Ketika ini, yang kedengaran di telinga hanyalah deruan air terjun, yang membuatkan diri lupa sebentar tentang hiruk-pikuk kota yang sebelum ini begitu sukar dipisahkan.

Di sepanjang perjalanan untuk sampai ke air terjun, pengunjung boleh melihat pelbagai flora dan fauna dari jenis hutan disini. Datang dalam pelbagai bentuk dan jenis, antara tumbuhan utama yang terpampang di depan mata adalah Meranti Seraya, Meranti Tembaga serta Meranti Melantai. Sementara itu, di antara fauna yang terdapat di kawasan ini ialah gajah, tapir, rusa, kijang, lotong kekabu, tupai serta pelbagai spesies burung dan unggas. Kalau hendak melihat gajah, mungkin itu peluang sekali seumur hidup. Maklumlah, bukan mudah mahu melihat haiwan ‘pemalu’ itu berkeliaran sesuka hati di dalam kawasan tumpuan pengunjung. Tetapi jika anda mengharapkan burung dan unggas, anda pasti tidak akan kecewa kerana haiwan-haiwan itu agak mudah dilihat di sini.

Beberapa kemudahan asas disediakan di sini seperti tempat untuk berkelah, tapak perkhemahan, laluan ‘trekking’ atau untuk berjogging. Tidak ketinggalan kemudahan gerai makanan untuk anda mengalas perut. Malah, kemudahan surau juga tersedia.

Jika mahukan aktiviti lebih dari sekadar mandi-manda, anda boleh melakukan aktiviti merentas hutan dengan menggunakan denai khas yang akan membawa anda ke Gunung Inas, Gunung Bintang Utara, Bukit Baubak dan Bukit Hijau.

Hutan Lipur Bukit Hijau ini terletak 45 kilometer dari Pekan Baling, 42 kilometer dari Bandar Kulim dan 45 kilometer dari Bandar Sungai Petani. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh memandu menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Pekan Kuala Ketil atau dari Bandar Kulim.






2 comments:

shamyheart said...

salam.
Cantik dan tenang sekali tempat ini.
Pernah ke sini. Memang airnya sangat sejuk..

Unknown said...

nampak menarik kawasan hutan ni. adakah hutan simpan ini menyediakan tempat penginapan?