THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, May 28, 2008

Jom ke Alor Setar naik keretapi..


Cuba anda ingat-ingatkan kembali, pernah atau tidak anda bercuti dengan menaiki keretapi? Jika pernah, bila kali terakhir anda lakukannya? kami yakin, mesti ramai yang tidak pernah atau sudah lama tidak menaiki keretapi untuk bercuti. Hmm … sebenarnya, bercuti dengan menaiki keretapi ini ada kelebihannya dan agak menyeronokkan! Ikuti pengalaman kami yang sempat bercuti ke Alor Setar baru-baru ini dengan menaiki keretapi. Percutian ini memang sukar dilupakan kerana banyak pengalaman baru yang dikutip.

Setelah hampir 20 tahun tidak menaiki keretapi untuk ke mana-mana, kami bersama dua orang lagi rakan mengambil keputusan untuk ke Alor Setar dengan menggunakan sistem pengangkutan yang berusia lebih 100 tahun ini. Memandangkan perjalanan akan mengambil masa yang panjang iaitu lebih 12 jam, kami sepakat mengambil tiket yang mempunyai tempat tidur. Senang untuk melelapkan mata nanti. Dengan tambang RM48 kami dan rakan-rakan membeli tiket ‘Superior Night Class’ untuk katil bawah.

Tiba hari yang dinantikan, kami ke Stesen KL Sental untuk ke Alor Setar. Untuk perjalanan ini kami akan menaiki train yang dinamakan Ekspress Langkawi. Pada mulanya kami ingatkan tidak ramai yang akan menaiki pengangkutan ini tetapi tekaan itu meleset sama sekali, rupa-rupanya masih ramai yang menggunakan perkhidmatan keretapi.

Tidur Lena
Tepat jam 8.30 malam, Ekpress Langkawi tiba dan ketika inilah insiden lucu yang pertama terjadi. kami tidak jumpa katil masing-masing. Semuanya gara-gara main redah aje. Terujalah kononnya, sampai tidak teringat untuk melihat nombor gerabak yang betul. Padahnya, kami terpaksa berjalan daripada satu gerabak ke satu gerabak yang lain untuk mencari katil yang sepatutnya. Sudahlah kena mengheret beg pakaian yang besar, terpaksa pula berjalan terhoyong-hayang kerana keretapi telah bergerak. Hampir 20 minit jugalah kami mencari barulah jumpa katil yang betul.

Malam itu, kami menjamu selera di kafetaria yang tersedia di dalam keretapi. Memang awal-awal lagi kami sudah bercadang untuk menjamu selera di kafetaria sahaja. Hendak merasai pengalaman baru kononnya. Harga makanan di sini memang mahal. Bayangkan, untuk sebotol air mineral dan secawan ‘Maggie in my cup’, terpaksa membayar RM6. Rakan kami yang makan sebiji burger dan secawan kopi pun terpaksa membayar harga yang sama. Mahal bukan? rasa macam tidak berbaloi.

Selesai menjamu selera, kami lepak seketika dengan berbual-bual dan merancang ke mana destinasi yang perlu dituju sebaik tiba di Alor Setar esok hari. Kira-kira jam 12.30 malam barulah kami ke katil masing-masing untuk melelapkan mata. Sedar-sedar kami sudah pun sampai di Alor Setar pada jam 9 pagi keesokkan harinya. Lena betul kami tidur. Apa tidaknya, tempat tidur yang disediakan memang selesa, lengkap dengan sebiji bantal dan selimut.




Ronda-ronda di Alor Setar
Hari pertama berada di bandaraya Alor Setar, kami banyak menghabiskan masa di hotel kerana masih tidak berjaya mendapatkan kereta sewa. Hanya jam 4 petang barulah kami mendapat kereta sewa yang diinginkan. Destinasi pertama pilihan kami ialah Bukit Kayu Hitam. Untuk ke sana, ia mengambil masa kira-kira 45 minit. Tiba di Bukit Kayu Hitam, kami terus ke pusat membeli-belah bebas cukai untuk melihat barangan yang dijual. Kami dapati harga barangan di sini tidaklah terlalu banyak bezanya dengan tempat-tempat lain. Murah sedikit sahaja. Kalau anda gemarkan barangan Thailand, ini tempat yang sesuai untuk membeli-belah.











Pulang dari Bukit Kayu Hitam, kami singgah makan di Stadium Darul Aman kerana perut telah berkeroncong. Sedap juga ‘Char Kuey Teow’ dan Laksa Kedah di sini. Harganya juga murah. Cuma RM2.50 semangkuk. Pada sebelah malamnya pula, kami ke Kuala Kedah untuk menikmati hidangan makanan laut.

Hari kedua berada di Alor Setar, kami meronda di sekitar bandaraya ini. Lokasi pertama ialah Pekan Rabu. Tempat ini memang popular di kalangan pelancong dan penduduk tempatan untuk mendapatkan pelbagai barangan seperti kuih-muih tradisional, pakaian, barangan cenderahati dan juga barangan untuk perkahwinan. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan boleh tawar-menawar.




Selepas menghabiskan masa berjam-jam di sini, kami ke Muzium Negeri pula. Seperti kebanyakkan muzium yang lain, di muzium ini anda boleh mengenali dan mempelajari tentang sejarah negeri Kedah. Banyak maklumat yang boleh didapati di sini. Sebelum bertolak pulang ke ke hotel, kami singgah di Menara Alor Setar. Caj sebanyak RM6 dikenakan untuk naik ke atas bagi menikmati pemandangan bandaraya Alor Setar keseluruhannya.














Program jalan-jalan kami pada hari itu berakhir kira-kira jam 6 petang. Balik ke hotel, masing-masing sudah keletihan dan malam itu kami makan di bilik sahaja dengan memesan makanan menerusi perkhidmatan ‘room service’.


Bertolak Pulang
Hari ketiga di sini merupakan hari terakhir percutian kami di negeri Utara tanahair ini. Tidak banyak aktiviti yang kami lakukan pada hari ini. Sebelum memulangkan kerete sewa, kami sempat pusing-pusing di bandar Alor Setar untuk kali terakhir. Setelah itu, pulang ke bilik masing-masing untuk mengemas beg pakaian dan barangan yang telah dibeli.


Petang itu, train kami bertolak pada jam 5.30 petang daripada Alor Setar ke Kuala Lumpur. Kali ini, kami hanya lepak di atas katil masing-masing kerana keletihan. Sepanjang malam itu, kami hanya tidur sahaja. Kami tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 pagi.
Nota perjalanan:-Sekiranya anda ingin bercuti ke Alor Setar, nombor-nombor telefon ini pasti diperlukan untuk memudahkan percutian anda nanti:-
Persatuan Pemandu dan Tuan punya Kereta Sewa (Teksi Bandar): 04 – 7145876
Kereta Sewa (Romli Bin Haji Mahamud): 04 – 73337701
Hotel / penginapan : 1) StarCity Hotel : 04 – 7355888
2) Hotel Seri Malaysia : 04 – 7308737
3) Holiday Villa : 04 – 7349999
4) Hotel Grand Continental : 04 – 7335263
5) Hotel Royale : 04 – 7330922

0 comments: