THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Cherating, Pahang

Pantai peranginan Cherating memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Keindahan pantainya memang sudah ramai yang sedia maklum. Terletak di negeri Pahang dan bersempadan dengan negeri Terengganu, pantai peranginan ini sentiasa menggamit kedatangan pelancong.

Pantainya yang putih, bersih dan dipenuhi dengan pepohon rhu memang sesuai untuk berkelah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Bagi yang bercadang untuk bermalam di sini, jangan risau soal penginapan. Di sini terdapat banyak hotel, resort dan chalet yang boleh dipilih mengikut bajet anda. Salah satu resort yang boleh dijadikan pilihan ialah Suria Cherating Beach Resort yang terletak kira-kira 60 minit masa perjalanan dari Kuantan, Pahang. Resort ini mempunyai 114 buah bilik, termasuk suite yang luas dan selesa. Di kelilingi persekitaran yang menghijau, resort ini memang ideal untuk mereka yang rindukan kedamaian. Sama ada anda hadir bersama keluarga, insan tersayang mahupun rakan-rakan, resort ini mampu memehuhi keperluan percutian anda.



Apabila sudah bercuti di pusat peranginan pantai, janganlah lepaskan peluang ‘beraksi’ di pantai. Memanglah susah hendak berenggang dengan tilam dan bantal ketika bercuti, tapi rugilah kalau tak ‘experience something else’. Berenang, bola tampar pantai, membina istana pasir dan bermain layang-layang merupakan aktiviti yang boleh dilakukan. Jika masih malas lagi, memadailah dengan berbaring di bawah pepohon rhu sambil menikmati hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Memang mengasyikkan, silap-silap boleh terlena.

Selain daripada menghabiskan masa di tepian pantai, anda juga boleh bersiar-siar ke Kampung Cherating. Di kampung ini anda berpeluang membeli pelbagai cenderahati untuk dibawa pulang. Bahkan, terdapat beberapa buah tempat untuk anda menunjukkan bakat melukis batik. Caj yang dikenakan untuk akvitivi ini di antara RM50 ke RM80 dan hasil seni tersebut boleh dibawa pulang bersama.

Pada sebelah malam pula, apa kata anda isi masa yang terluang dengan berkaraoke sehingga lewat malam. Inginkan acara yang lebih menarik? Ikut sahaja trip melihat penyu bertelur di Pantai Chendor. Bagaimanapun, aktiviti ini hanya sesuai dilakukan pada bulan Julai hingga September. Hanya pada waktu ini banyak penyu mendarat untuk bertelur.

Di mana hendak menjamu selera? Soal ini tidak perlu dirisaukan. Resort ini sendiri menyediakan sebuah restoran untuk kemudahan pengunjung. Bunga Padi Restaurant menyediakan pelbagai hidangan membuka selera sama ada citarasa tempatan mahupun barat. Paling istimewa, restoran ini 100 peratus halal kerana tidak menghidangkan minuman dan makanan beralkohol.

Selain daripada boleh menjamu selera di Bunga Padi Restaurant, anda juga boleh ‘explore’ banyak restoran yang terletak di luar resort ini. Pada sebelah malam misalnya, anda boleh berkunjung ke restoran makanan laut yang banyak terdapat di sepanjang jalan Kuantan-Kemaman. Restoran-restoran ini menjanjikan hidangan yang cukup lazat pada harga yang berpatutan. Sementara itu, jangan lupa menjenguk ke gerai-gerai keropok lekor pada sebelah petang. Gerai-gerai yang terletak di tepi jalan ini bukan hanya menjual keropok lekor tetapi terdapat juga produk-produk hasil laut yang lain seperti sotong kering, ikan masin, dan sate ikan. Bolehlah dijadikan sebagai buah tangan kepada rakan-rakan atau saudara mara.

Untuk keterangan lanjut mengenai Suria Cherating Beach Resort, anda boleh menghubungi talian 09 – 581 9898 atau emelkan ke sales@suriaresorts.com

0 comments: