THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Paka, Terengganu

Pada tahun ini terdapat tiga buah negeri yang mengadakan tahun melawat negeri masing-masing. Negeri-negeri tersebut ialah Terengganu, Kelantan dan Kedah. Pasti banyak pakej menarik yang boleh anda ikuti untuk bercuti ke negeri-negeri tersebut.

Perhentian pertama kami untuk negeri Terengganu pada tahun ini ialah Residence Resort Paka. Mesti ramai yang tertanya-tanya, apa yang ada di Paka? Maklumlah, bandar yang terletak kira-kira 100 km di selatan Kuala Terengganu ini kurang popular dan hanya digunakan sebagai laluan untuk ke Kuala Terengganu atau bandar-bandar lain di Pantai Timur. Atas sebab itulah, kami terpanggil untuk bercuti ke sini. Mungkin ada keistimewaan tempat ini yang kita semua tidak tahu. Jom kita tengok apa yang ada di sana.

Kami telah memilih Residence Resort Paka sebagai lokasi percutian di bandar kecil ini. Resort ini merupakan satu-satunya penginapan yang menawarkan perkhidmatan bertaraf empat bintang. Lokasinya juga memuaskan kerana terletak di persisiran pantai.

Ketibaan kami di resort ini disambut mesra oleh kakitangan yang bertugas. Selesai urusan daftar masuk, tanpa membuang masa kami terus ke bilik. Maklumlah, setelah seharian memandu dari KL, badan terasa sungguh penat.

Sebaik sahaja melangkah ke bilik resort ini, hati berbunga riang kerana penginapannya cukup selesa dan mempunyai pemandangan pantai yang indah. Terus terdetik di hati, ini mungkin permulaan yang baik. Bilik ini mempunyai ruang yang cukup luas serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang lain. Oleh kerana kami tiba sudah lewat petang, so malam itu kami hanya order makan malam melalui ‘room service’.

Hari kedua di resort ini, kami mulakan dengan dengan bersarapan pagi di Gelombang Cafe. Hmm...boleh tahan juga menu di sini. Tetapi tiada yang terlalu istimewa. Menu popular rakyat Terengganu, nasi dagang juga tiada. So, pagi itu kami hanya makan semangkuk cornflakes bersama segelas jus oren.

Selesai bersarapan, kami terus menuju ke pantai. Pemandangan pantai di sini memang menarik dan dari jauh kami nampak beberapa orang pengunjung resort sibuk mengambil foto. Bagaimanapun, pantai di sini tidak begitu sesuai untuk mandi-manda. Ombaknya agak besar. Untuk perenang amatur macam kami ini memang bahayalah.

Hampa tidak boleh mandi laut, kami terus ubah rancangan dengan berendam di kolam renang. Seronok juga. Lagipun, suasana di resort ini tenang, tiada gangguan. Dapat jugalah kami lupakan seketika tentang tugasan kerja yang melambak di pejabat.Selepas perut minta di isi, kami balik ke bilik untuk salin baju dan mulakan misi meronda bandar Paka untuk mencari kedai makan untuk makan tengahari. Apa yang kami perasan, agak susah untuk mencari kedai yang menghidangkan masakan panas.

Majoriti hanya menyediakan menu nasi campur atau nasi ayam. kami singgah di Restoran Seri Melayu untuk menikmati hidangan nasi ayam. Itupun selepas seorang penduduk tempatan maklumkan yang menu nasi ayam di situ sangat popular dan patut dicuba. Ternyata dakwaan tersebut benar. Nasi ayam di restoran tersebut memang lazat.

Pada sebelah petang pula, kami meronda di sekitar pantai Paka untuk mencari gerai-gerai makanan yang menjual pelbagai hidangan celup tepung seperti sotong, ikan, udang dan bebola ayam. Kalau anda hendak tahu, hidangan ini memang menjadi kegemaran penduduk di sini untuk dimakan pada waktu-waktu petang. Malah, harga makanan di sini sangat murah berbanding di KL. Sambil menjamu selera, bolehlah menikmati keindahan pantai. Hembusan bayu yang bertiup pula sungguh mendamaikan.

Bagi yang menggemari makanan laut, jika sudah sampai ke Paka, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan ini. Di sini memang banyak restoran yang menyediakan menu tersebut. Tetapi ia hanya dibuka pada waktu petang hingga ke lewat malam. Soal harga jangan bimbang, semuanya berpatutan.

Hari terakhir percutian kami di Residence Resort Paka, Terengganu, kami tidak ke mana-mana. Hanya berehat di resort dengan mengunjungi spa. Oleh kerana badan sudah mula terasa letih, lami ambil pakej Leka-leka yang terdiri daripada urutan badan, sauna, skrub badan, jakuzi dan segelas minuman herba. Sebaik selesai mengikuti rawatan badan ini, badan terasa sungguh sihat dan segar. Tidak rugi rasanya membayar pakej rawatan yang berharga RM150. Layanan yang diberikan juga amat baik sekali.

Tepat jam 12.00 tengahari, kami daftar keluar dan teruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Bagi kami, percutian ke Residence Resort Paka, Terengganu ini tidak kurang menariknya. Memang tiada tempat untuk ‘happening-happening’ atau berhibur, tetapi sangat sesuai untuk merehatkan diri. So, tunggu apa lagi? Rancanglah percutian anda ke sini.

Untuk pertanyaan lanjut tentang pakej menarik di resort ini, anda boleh menghubungi talian 09 – 827 3366.










1 comments:

opheliazaitz said...

Casino Review - JT Hub
Read our in-depth review of Jammy Monkey Casino ⭐ 남양주 출장마사지 Free spins 의정부 출장샵 & no deposit bonuses 김포 출장마사지 at Jammy Monkey ✓ New 강원도 출장샵 Bonus Code ✓ Join ✓ Cashback and 구리 출장샵 other promotions!