THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, May 28, 2008

puLau peRheNtiaN...



Jatuh cinta pandang pertama, itu yang terjadi kepada kami sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pulau Perhentian. Keindahan alamnya sungguh mempesona dan agak sukar dilafazkan dengan kata-kata. Sebelum ini bukannya kami tidak pernah bercuti di pulau-pulau peranginan yang lain, tetapi Perhentian ternyata yang terbaik.

Benarlah apa yang dikatakan oleh rakan-rakan kami sebelum ini, satu kerugian besar kalau tidak bercuti di pulau yang terletak di negeri Terengganu itu. Lagipun, pulau ini turut tersenarai sebagai salah satu pulau yang tercantik di dunia. Dari dalam bot lagi kami sudah dapat meninjau keindahan pulau. Apabila sampai, kejernihan airnya yang kaya dengan hidupan marin bagaikan memanggil-manggil kami untuk terjun ke dalam laut. Sungguh teruja dibuatnya!





Hendak tahu dengan lebih lanjut tentang pulau ini? Pulau Perhentian sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Terdapat empat buah pantai di Perhentian Kecil iaitu Coral Bay, Long Beach, Petani Beach dan Teluk Kerma. Manakala di Perhentian Besar hanya ada pantai utama, Teluk Dalam dan Turtle Creek Bay.

Kebanyakkan pengunjung lebih tertumpu di Perhentian Kecil kerana di sini terdapat banyak pilihan chalet atau resort. Bahkan, di sini juga banyak penginapan bajet yang sesuai untuk ‘backpackers’. Untuk percutian kali ini, kami telah memilih untuk menginap di Bubu Long Beach Resort yang terletak di pantai Long Beach (Pasir Panjang). Alasan kami memilih resort ini kerana ia dicadangkan oleh rakan-rakan yang pernah menginap di sini. Hmm … mujurlah keadaan bilik dan suasana sekitar resort ini memenuhi citarasa kami. Malah, makanan yang dihidangkan di sini juga enak.

Istimewa untuk anda yang bercadang ke pulau ini, kami ceritakan serba sedikit tentang aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Memandangkan pantai dan air laut di sini sungguh bersih dan indah, aktiviti mandi-manda merupakan aktiviti yang tidak boleh dilepaskan. Inilah masanya untuk anda mandi sepuas-puasnya. Sambil berendam dan berenang boleh mengintai anak-anak ikan yang berlari-lari di dalam air. Jika ke tengah sedikit, bolehlah melihat ikan yang lebih besar dan karangan laut yang cantik.

Agar percutian anda ke sini meninggalkan memori yang sukar dilupakan, luangkanlah masa dengan melakukan ‘snorkeling’. Jika lebih berani dan mempunyai lesen selam skuba, lakukan juga aktiviti ini. Pulau Perhentian memiliki hidupan marin dan karangan laut yang sungguh mempesona. kami sendiri tidak lepaskan peluang untuk ‘snorkeling’, cuma tidak berkesempatan menyelam skuba. Seronok betul dapat melihat ikan berwarna-warni yang saling berkejaran di celah-celah karangan. Masa terasa begitu pantas berlalu walaupun sebenarnya sudah dua jam berada di dalam air. Kalau bukan kerana hari sudah lewat petang, pasti kami dan rakan-rakan yang lain tidak bertolak pulang ke resort.

Walaupun tidak melakukan selam skuba, kami mendapat tahu daripada petugas resort, Tokong Laut merupakan salah satu lokasi selam skuba yang menjadi kegemaran kaki-kaki selam skuba. Tokong Laut yang terletak di sebelah barat laut pulau ini banyak diselimuti oleh terumbu karang yang keras dan lembut (soft and hard corals). Sambil menyelam anda boleh melihat banyak bamboo shark yang sedang berehat atau tidur di bawah terumbu karang tersebut. Selain itu, anda juga boleh melihat belut dan beberapa spesis ikan laut yang lain. Caj yang dikenakan untuk selam skuba ini bergantung kepada pakej yang anda ambil, di antara RM250 hingga RM1,000.





Bagaimana ke sini?
Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan ke jeti Kuala Besut mengambil masa yang panjang iaitu di antara lapan hingga ke sembilan jam. Gunakan Lebuhraya Karak menuju ke Kuantan dan teruskan perjalanan sehingga ke Kuala Terengganu dengan mengikuti papan tanda yang terdapat di sepanjang perjalanan. Setelah tiba di Kuala Terengganu anda perlu ke Jertih dan daripada sini anda akan jumpa papan tanda ke Kuala Besut. Ikuti papan tanda tersebut agar tidak sesat. Sebaik tiba di jeti, anda boleh membeli tiket-tiket bot daripada kaunter-kaunter tiket yang tersedia. Sekiranya anda sudah menempah pakej, anda hanya perlu ke kaunter resort atau chalet yang berkenaan.

Jika anda ingin menaiki bas ekspres, lebih baik anda ambil perjalanan terus ke Kota Bahru kerana Kuala Besut hanya terletak kira-kira 45 minit daripada bandar tersebut. Dari stesen bas Kota Bahru, anda boleh mengambil teksi untuk ke Kuala Besut dan caj yang dikenakan adalah di antara RM35 – RM65.

Caj untuk tiket bot pula berharga RM60 untuk perjalanan pergi balik. Kanak-kanak dikenakan separuh harga. Jika ingin berjimat, pilihlah bot biasa yang mengambil masa perjalanan yang lebih panjang iaitu sejam untuk sampai. Caj yang dikenakan hanya RM40 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak.

Senarai chalet dan resort di Pulau Perhentian:
Perhentian Besar
Coral Bay Chalet – 010-9841370Coral
View Island Resort – 09-6977427
Floral Bay Chalet –09-6977266
Paradise Resort – 010-9810930
Pelangi Resort – 010-9811762
Samudra Beach Chalet – 010-9842920
Tuna Bay Island Resort – 09-6978779

Perhentian Kecil
Bubu Long Beach – 03- 21426688 (pejabat jualan)
D-Lagoon – 011-970631Moonlight Chalet – 011-970631
Rajawali Island Resort – 010-9805244
Rock Garden Chalet – 09-7789326

Nota perjalanan: Pulau Perhentian sangat sibuk sepanjang bulan Jun hingga Ogos, terutamanya di Perhentian Kecil. Kesesakan ini kadangkala membuat ramai pengunjung yang tidak membuat tempahan awal hanya tidur di pantai dengan berkhemah. Oleh itu, buat tempahan awal jika ingin ke sini.

2 comments:

Unknown said...

tempat ni memang menarik...saye pernah g ngn family.besssst gilerrrr...

mohad said...

agak menarik...