THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, May 28, 2008

Hutan Lipur, Ulu Bendul..

Kerana ingin mencuba sesuatu yang baru, kami berkunjung ke Hutan Lipur Ulu Bendul, Negri Sembilan sewaktu cuti baru-baru ini. Dari bandar Seremban, kami mengambil jalan menuju ke Kuala Pilah yang agak bengkang bengkok dan mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke destinasi.

Memang bagi kami yang sentiasa terperuk di kotaraya KL, pemandangan hutan menghijau dan suasana kampung yang kami lalui sepanjang perjalanan itu memang tersangat ‘refreshing’. Monyet-monyet yang berkeliaran di jalan tersebut juga membuatkan kami yang selalunya melihat haiwan melalui Discovery Channel rasa sangat teruja.

“Mak ai, ramainya orang.” Itulah ungkapan yang keluar secara spontan setibanya kami di kawasan letak kereta hutan lipur tersebut. Kelihatan juga beberapa gerai menjual pelbagai jenis barangan dan makanan berjaya mencuri tumpuan pengunjung-pengunjung, yang rata-ratanya merupakan keluarga-keluarga besar dan anak-anak muda yang dahagakan sedikit ‘adventure’.

Masuk saja ke kawasan sungai, kelihatan ramai yang sedang berseronok mandi-manda. Ada yang memakai pakaian mandi, ada yang berkain batik dan ada juga memakai speedo (tak tipu!). Keriangan suara kanak-kanak yang begitu syok bermain air membuatkan kami semakin tidak sabar untuk merasa sendiri kedinginan air sungai yang kelihatan bersih.

Kelihatan juga khemah-khemah yang dinaikkan mereka yang bercadang bermalam di kawasan itu.

Selepas menapak naik beberapa minit, kami pun menjumpai satu ‘spot’ yang sesuai untuk ditebarkan tikar dan dijadikan ‘port’ untuk kami berkelah. Sebaik saja kaki dicelup ke dalam sungai yang deras mengalir, ungkapan ini terdengar dari mulut rakan-rakan “Aahh, sejuknya. Best giler!”




Memang sejuk. Memang nyaman. Memang best.


Tapi sayangnya… apabila kami perhatikan kawasan sekeliling dengan lebih dekat, ternyata Hutan Lipur Ulu Bendul telah menjadi mangsa pencemaran yang agak teruk. Yang sedihnya, pengunjung-pengunjung tempat ini sendirilah yang bertanggungjawab.

Sampah sarap dibuang merata-rata (seolah-olah akan ada kuasa magik yang mampu melenyapkan sampah-sarap ini dari muka bumi), dan oleh kerana terdapat juga bekas-bekas makanan yang terbuka, semut-semut besar pantas berkunjung. Memang menyedihkan. Perasaan geli sedikit pun terasa.

Tolak itu ketepi, sememangnya ‘enjoy’ pengalaman kami di sana. Dan mungkin kami akan kembali ke sana tak lama lagi. Cuma kali ini, akan dibawa penyapu dan tong sampah sekali…

1 comments:

destinasi terindah said...

pemandangan di sini memang menarik.
saya sekeluarga berasa seronok apabila mengunjungi destinasi tersebut.
saya harap dapat meluangkan masa di situ lagi