THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Batu Burok, Terengganu


Jika sudah sampai di Kuala Terengganu, jangan lupa singgah di Pantai Batu Burok. Pantai yang hanya ‘buruk’ pada namanya ini merupakan lokasi rekreasi yang cukup popular di kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong. Lautnya yang membiru dan pantainya yang memutih sungguh mempesona mata yang memandang. Hembusan angin yang sesekali menyapa membuaikan perasaan. Tubuh yang cukup penat kerana berjam-jam memandu sebentar tadi pasti terasa segar kembali. Sambil menikmati keindahan pantai di bawah rimbunan pepohon rhu, bolehlah hilangkan dahaga dengan minuman air kelapa yang ada dijual di gerai-gerai berdekatan.




Setiap petang, pantai ini dipenuhi dengan ramai pengunjung yang mengambil peluang untuk menghirup udara segar dan tidak kurang juga yang membawa anak-anak untuk bermain layang-layang. Jika anda berminat, silakan mencuba. Anda boleh membeli layang-layang di gerai berhampiran.

Perut sudah terasa lapar? Jangan risau, di sini terdapat banyak gerai makan yang menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuklah hidangan tradisional. Nasi dagang merupakan salah satu hidangan yang patut anda cuba. Keenakkannya memang berbeza dengan yang ada di negeri-negeri lain. Selain itu, anda juga boleh menikmati ais krim goreng dan makanan laut bercelup tepung. Memang banyak gerai yang menjual makanan celup tepung ini, tetapi harganya boleh tahan (agak mahal). Ahh…….. sesekali apa salahnya.

Bagi yang tiba di sini pada hari Jumaat, anda memang langkah kanan. Setiap Jumaat bermula jam 3.00 petang, terdapat pasar malam yang menjual pelbagai jenis barangan termasuklah juadah istimewa masyarakat Terengganu. Jangan lupa dapatkan keropok lekor dan ketupat sotong di sini. Memang seronok berbelanja di pasar malam ini. Maklumlah, harga yang ditawarkan memang jauh lebih murah berbanding dengan pasar malam di kota-kota besar.

Pantai yang indah turut mempunyai beberapa lokasi penginapan untuk anda yang ingin bermalam di sini. Primula Beach Resort merupakan satu-satunya hotel bertaraf empat bintang yang ada di sini. Manakala, Batu Burok Beach Resort merupakan resort yang sesuai untuk semua golongan. Jika inginkan penginapan bajet, anda boleh bermalam di Batu Burok Chalet yang menawarkan harga serendah RM40 semalam.