THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Sunday, June 1, 2008

Avillion, Port Dickson


Walaupun masa perjalanan yang diambil dari Kuala Lumpur hanya lebih kurang satu jam lebih, suasana di Avillion Port Dickson membawa pengunjungnya lari jauh daripada kesibukan dan tekanan kotaraya. Landskap resort ini dirangka teliti agar persekitarannya diselubungi kehijauan pohon-pohon pelbagai spesies dan tiang-tiang bilik resort dipeluk air laut Selat Melaka yang membiru, serta-merta memanjakan pengunjung dengan ketenangan alam semulajadi yang menyegarkan.

Avillion Port Dickson, resort lima bintang yang berkonsepkan perkampungan nelayan ini terletak di persisiran pantai Port Dickson yang begitu terkenal di Negeri Sembilan. Resort ini menempatkan lebih 300 buah bilik pelbagai jenis yang menawarkan suasana istirehat ideal bagi pengunjung dari dalam dan luar negara. Pengunjung boleh memilih untuk menempah bilik biasa, garden chalet, sea view chalet atau premium chalet mengikut kesesuaian bajet dan citarasa.





Bertepatan dengan suasana kampung nelayan yang ingin ditonjolkan resort ini, rekabentuk bangunan Avillion Port Dickson dilakar bercirikan rumah Melayu tradisional dengan kehadiran tangga kayu, pangkin istirehat menghadap lautan dan katil bertiang empat lengkap berkelambu putih yang menyuntik suasana romantis bagi pasangan yang bercuti. Kehadiran tab mandi yang dibina di tengah-tengah ruang bilik menghadap ke pintu utama, cukup mengujakan.

Tidak mengabaikan pengunjung yang berkeluarga, Avillion Port Dickson peka dengan menawarkan petting zoo untuk anak-anak rapat dengan binatang kesayangan termasuk arnab, guinea pigs, kura-kura, ayam kampung, burung merpati, burung merak dan sebagainya. Walaupun kawasan yang diperuntukkan tidaklah begitu luas, ianya cukup untuk menceriakan anak-anak dengan membenarkan mereka memberi makan dan ‘beramah-mesra’ dengan binatang kesayangan mereka.

Disediakan juga taman kanak-kanak untuk si kecil berseronok bersama kawan-kawan baru. Avillion Port Dickson juga menawarkan tiga set kolam renang, selain pengunjung mempunyai pilihan untuk bermandi-manda di pantai Port Dickson. Kolam renang dewasa, kolam renang keluarga dan juga kolam eksklusif untuk kanak-kanak yang cantik dan merehatkan memaparkan keprihatinan resort ini untuk menawarkan yang terbaik bagi para pengunjungnya. Bilik sauna disediakan percuma untuk kegunaan pengunjung resort dan jika inginkan spa treatment, Avillion menyediakan kemudahan dengan caj yang berpatutan.





Tatkala senja menjelma, pengunjung boleh berjalan-jalan mengelilingi kawasan yang menghijau untuk menikmati keindahan alam dan menghirup udara segar sementara menunggu matahari terbenam di ufuk barat. Pelbagai jenis pokok ditandakan oleh resort ini untuk menambah ilmu para pengunjung tentang alam semulajadi.

Keramahan para pekerja di Avillion Port Dickson pandai mengambil hati para pengunjung. Mereka sentiasa peka dengan kehendak pengunjung dan tidak lokek dengan senyuman; inilah yang digelar perkhidmatan pelanggan kelas pertama.

Sewaktu check out, terdengar paluan muzik tradisional Negeri Sembilan yang dimainkan dengan penuh ceria dari sebuah gazebo di sebelah kiri hadapan resort ini. Alunan muzik Minangkabau menarik perhatian pengunjung terutama yang dari luar negara dan mengiringi pemergian kami kembali ke bandaraya.

0 comments: